Followers

Saturday, March 27, 2010

Azizul ketepi kritikan

Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

BIARPUN hasrat merangkul pingat emas tidak kesampaian, sekali gus menyarung jersi Pelangi sebagai juara dunia - kejayaan pelumba negara, Azizulhasni Awang merangkul pingat perak acara keirin memberi petanda cerah terhadap kilauan pingat di Sukan Olimpik, London nanti.

CERIA...Hoy (tengah) diapit Azizulhasni (kiri)  dan Levy selepas majlis penyampaian hadiah, semalam.
CERIA...Hoy (tengah) diapit Azizulhasni (kiri) dan Levy selepas majlis penyampaian hadiah, semalam.
Semangat Azizul jelas terserlah apabila anak muda dari Terengganu itu turun beraksi menentang juara dunia dan juga pemenang empat pingat emas Sukan Olimpik, Chris Hoy dari Britain pada final acara keirin di Kejohanan Trek Dunia yang berlangsung di Copenhagen, Denmark, awal pagi semalam.


Tewas dengan hanya separuh tayar, memberi petanda positif terhadap kemampuan sebenar Azizul yang ketika ini berusia 22 tahun apabila turun memberi saingan kepada Hoy yang akan berumur 35 tahun pada Olimpik 2012 nanti.


“Alhamdulillah, rezeki tetap memihak kepada saya dan saya cukup gembira dan bangga dengan pingat ini. Pingat ini saya harap dapat menutup segala kritikan yang mempersoalkan kemampuan saya selepas berkahwin.


“Perkahwinan saya itu sebenarnya menjadi nadi membakar semangat saya untuk memberikan terbaik kerana sedar tanggungjawab sebagai suami dan atlit sangat besar,” kata Azizul, menghadiahkan pingat itu kepada isteri, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaannya.


Pengalaman nyata menjadi kunci kejayaan Azizul yang bijak mengatur strategi untuk bangkit memberi tentangan hebat selepas tewas dalam saingan tahun lalu biarpun menyarung jersi Putih, selaku terbaik dunia acara berkenaan.

Dalam saingan semalam, Azizul mengekori rapat Hoy sejak dari awal perlumbaan dan berjaya mencelah pada 100 meter terakhir, bagaimanapun kehadiran juara bertahan, Maximilian Levy dari Jerman yang merapatinya menjejaskan rentak Azizul.


Azizul yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman mengakui asakan Levy yang meraih gangsa itu menjadi punca kegagalannya memintas Hoy di saat akhir seperti dirancangnya.


Katanya, kejayaan merangkul pingat pertama dalam acara keirin dunia itu harus dijadikan azimat buat semua pelumba pelapis basikal negara agar tidak mudah menyerlah kalah kerana saiz badan serta kulit bukan satu perbezaan untuk bergelar juara.


Terdahulu penyertaan seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng dalam acara keirin dibatalkan apabila didapati melanggar peraturan apabila memasuki laluan Hoy pada sesi kelayakan pertama menyebabkan pelumba Britain itu terjatuh.


Lewat pagi esok, Azizul akan turun sekali lagi beraksi dalam acara pecut selaku pemenang perak acara berkenaan di samping Josiah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...