Followers

Saturday, March 27, 2010

Azizulhasni cipta sejarah lagi


Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2010/03/27

AZIZULHASNI   mengejar  Hoy  pada   final acara keirin Kejohanan Dunia Trek UCI di Copenhagen,  awal pagi semalam. Gambar kecil Azizulhasni mengucup pingat perak yang dimenangi.
AZIZULHASNI mengejar Hoy pada final acara keirin Kejohanan Dunia Trek UCI di Copenhagen, awal pagi semalam. Gambar kecil Azizulhasni mengucup pingat perak yang dimenangi.
Raih perak acara keirin Kejohanan Dunia Trek UCI

SEJARAH sekali lagi tercipta dalam sukan berbasikal trek apabila Mohd Azizulhasni Awang meraih perak pertama acara keirin Kejohanan Dunia Trek UCI di Copenhagen, Denmark, awal pagi semalam.
Selain menebus kekecewaannya dalam acara berkenaan di Pruszkow, Poland tahun lalu, harapan pingat Olimpik 2012 itu turut berpeluang menguji kemampuannya menyaingi pemenang empat pingat emas Olimpik, Chris Hoy pada final acara keirin berkenaan. Azizulhasni yang menyarung jersi putih UCI selaku pendahulu mata, begitupun akur kepada Hoy yang turut mengecewakannya di Beijing 2008, tetapi menegaskan sasaran sebenarnya adalah merangka strategi baru untuk merampas kejuaraan Olimpik daripada jaguh Britain itu.

Berdasarkan persiapan Azizulhasni tahun ini yang diselang-seli dengan kesibukan dalam pengajian universiti, pelumba kelahiran Dungun itu tidak meletakkan harapan tinggi di Arena Super Ballerup.

“Sasaran utama saya ialah memenangi emas di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini,” kata Azizulhasni. “Jadi keputusan ini boleh dianggap membanggakan memandangkan prestasi saya tidak berada pada tahap terbaik.

“Apa yang lebih penting, saya dapat bersaing dengan Chris Hoy, dan ia memberi gambaran awal mengenai kemampuan sebenar di Olimpik 2012 nanti.”
Begitupun, Azizulhasni boleh berbangga kini sebagai antara pakar keirin dunia, selepas hanya ketinggalan setengah tayar di belakang Hoy ketika melintasi garisan penamat tetapi selesa di depan bekas juara 2009, Maximilian Levy dari Jerman.

Menurut Azizulhasni, emas dan jersi pelangi begitu hampir dalam genggaman sebaik acara final bermula, tetapi halangan dari Levy menyebabkannya hanya keluar dari kepungan ketika perlumbaan berbaki 50 meter.

Dalam laluan ke final sebelum itu, dia mengungguli Saringan 3 pusingan pertama yang menyaksikan seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng, dibatalkan penyertaannya kerana menyebabkan Hoy terjatuh.

Pada pusingan kedua, Azizulhasni yang diletakkan dalam kumpulan sama dengan Hoy, menempah tiket ke final selepas melintasi garisan penamat di belakang pemegang gelaran 10 kejuaraan dunia itu tatkala Levy mengungguli kumpulan kedua.

Pengurus pasukan trek kebangsaan, Datuk Naim Mohamad, melahirkan kegembiraan dengan prestasi Azizulhasni itu.

“Ini satu detik bersejarah bagi negara kerana memenangi pingat pertama di Kejohanan Dunia dalam acara keirin,” kata Naim.

Hari ini, kontinjen dua pelumba itu akan turun dalam acara saringan pecut, dan Azizulhasni sekali lagi menjadi taruhan terbaik untuk mengulangi pencapaian di Poland tahun lalu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...