|
|
KUALA LUMPUR – Tuah tidak menyebelahi pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang apabila meraih pingat perak acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Copenhagen, Denmark tatkala dia mampu memberi tentangan kepada pemenang perlumbaan, Chris Hoy.
Dari segi ukurannya, Azizulhasni hanya ketinggalan separuh tayar di belakang pelumba Britain itu, malah mengakui asakan pelumba Jerman, Maximilian Levy (pemenang gangsa) penyebab utama dia gagal memintas Hoy di saat akhir.
Menurut Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad, perlumbaan tersebut memang dijangka sengit selepas pelumba handalan menepati ramalan mara ke peringkat akhir.
“Azizulhasni berkata kepada saya bahawa dia memang hampir untuk memintas Hoy tetapi dalam masa yang sama dia perlu berwaspada dengan henjutan pelumba Jerman, Levy yang cuba untuk memintasnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jelasnya, Azizulhasni mempunyai dua tugas dalam satu masa iaitu memintas Hoy dan menghalang kedudukan tempat kedua dari dirampas Levy.
“Ketika dia cuba mempertahankan tempat kedua, Hoy sudah meninggalkannya sedikit di hadapan jadi dia tidak sempat untuk memintas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing itu, bagaimanapun kami bangga dengan kemenangan pingat perak ini.
“Ramai pelumba hebat dalam saingan tersebut termasuk Teun Mulder (Belanda) dan Francois Pervis (Perancis) tetapi Azizulhasni tidak mengendahkannya sebaliknya terus memberi asakan kepada Hoy walaupun dia antara pelumba termuda,” katanya.
Azizulhasni yang digelar The Pocket Rocketman cemerlang pada saingan kelayakan apabila menduduki tempat pertama bagi melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, pada perlumbaan separuh akhir dia menduduki tempat kedua di belakang Hoy tetapi layak beraksi di saingan akhir.
Pelumba berusia 22 tahun kelahiran Terengganu itu turun dengan memakai jersi putih selaku pendahulu keseluruhan keirin selepas menduduki tempat teratas dalam siri Piala Dunia Klasik tahun lalu.
Kata Naim, dia yakin dengan kemampuan Azizulhasni pada saingan akan datang berikutan umurnya yang masih muda tetapi mendapat pendedahan berlumba bersama pelumba terbaik dunia.
“Ketua jurulatih, John Beasley juga gembira dengan pencapaian Azizulhasni walaupun persiapan yang dilakukannya sebelum ini tidak sampai 100 peratus tetapi mampu menduduki kelompok tiga terbaik,” katanya.
Sementara itu Azizulhasni berkata, dia berbangga dapat menduduki tempat kedua di belakang Hoy dan membuktikan perkahwinan bukanlah penghalang untuknya terus berusaha.
“Tidak ada yang mustahil jika kita berdedikasi dan pandai menguruskan masa, diharap pelumba pelapis tidak mudah menyerah kalah walaupun bentuk fizikal serta kulit berbeza dengan pelumba lain,” katanya yang menghadiahkan kemenangan tersebut kepada isteri tercinta, Athiah Ilyana Abdul Samat.
Seorang lagi pelumba negara, Josiah Ng dibatalkan penyertaannya apabila didapati melanggar peraturan menghalang laluan Chris Hoy pada sesi kelayakan pertama menyebabkan pelumba Britain itu terjatuh.
Bagaimanapun, Josiah masih mempunyai peluang untuk memadam kekecewaan tersebut apabila akan beraksi dalam saingan pecut bersama Azizulhasni pada pukul 10 malam hari ini.
Tahun lepas dalam kejohanan yang sama di Pruzkow, Poland Azizulhasni gagal meraih sebarang pingat dalam acara keirin manakala bagi pecut dia memenangi pingat perak.
No comments:
Post a Comment