HANYA 12 jam selepas dinobatkan selaku Olahragawan Kebangsaan 2009 malam kelmarin, tuah terus mengiringi Mohd. Azizulhasni Awang apabila dia menerima biasiswa pengajian daripada Yayasan Sime Darby (YSD) menerusi Program Biasiswa 'Bintang' semalam, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Jaguh berbasikal trek negara berusia 22 tahun itu yang popular dengan gelaran The Pocket Rocketman itu berlepas pulang ke Melbourne, Australia malam tadi dengan berbekal semangat dan motivasi tinggi atas kedua-dua penghormatan tersebut.
"Syukur alhamdulillah, penat lelah saya selama ini berbaloi dengan penghargaan ini. Terima kasih kepada semua. Biasiswa ini pula sudah tentu menjadi suntikan semangat buat saya.
"Ini pertama kali sebuah syarikat korporat menaja pengajian saya di Universiti Deakin. Saya rasa akan terus setia dengan Sime Darby," kata Azizulhasni pada sidang media di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara pagi semalam.
Biasiswa berjumlah RM160,000 setahun itu telah disampaikan oleh Ahli Majlis YSD, Datuk Dr. M. Jegathesan kepada Azizulhasni yang kini menuntut dalam tahun pertama jurusan Perdagangan (Pengurusan Sukan).
Menurut Jegathesan, Program Biasiswa 'Bintang' itu menawarkan penajaan pengajian kepada mereka yang berpotensi besar dalam bidang seni, muzik, sukan, alam sekitar dan sains dengan Azizulhasni merupakan penerima pertama bagi bidang sukan.
"Azizulhasni tidak akan terikat apa-apa dengan Sime Darby apabila dia menerima biasiswa ini. Cuma dia 'terikat' untuk memenangi pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2012," kata Jegathesan berseloroh.
Sementara itu, ditanya tentang harapan tinggi rakyat Malaysia untuk dia merangkul pingat keramat itu, Azizulhasni berkata, segala usaha perlu dilakukan dari satu tahap ke satu tahap yang lain dan tiada jalan pintas untuk mencapainya.
"Sejak mula lagi, memang saya meletakkan impian untuk menang emas Sukan Olimpik. Tapi apabila sudah menjadi pelumba profesional, keinginan tersebut makin kuat ditambah pula harapan tinggi seluruh rakyat Malaysia," ujar Azizulhasni.
Pelumba kelahiran Terengganu itu turut meletakkan sasaran untuk meraih dua pingat emas pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan menerusi dua acara kegemarannya iaitu keirin dan pecut 200 meter.
"Itu sasaran saya tetapi saya sedar saingan sengit tetap akan hadir terutamanya daripada pelumba-pelumba China, Korea Selatan dan Jepun yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Namun, ia bukan alasan untuk saya mudah menyerah kalah," katanya.
No comments:
Post a Comment