Followers

Thursday, April 29, 2010

Buru emas Asia

Buru emas Asia

KUALA LUMPUR - Jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang mensasarkan meraih dua pingat emas pada penampilan pertamanya di Sukan Asia di Guangzhou, China dari 12 hingga 27 November ini.

Azizulhasni,22, berkata, dua acara kegemarannya iaitu keirin dan pecut 200 meter akan menjadi taruhannya merealisasikan impian dua emas terbabit.

“Namun, saya sedar saingan sengit terutamanya dengan kehadiran pelumba dari China, Korea Selatan dan Jepun yang mempamerkan peningkatan sejak kebelakangan ini,” katanya selepas menerima biasiswa berjumlah RM160,000 selama setahun untuk menampung kos pengajiannya di Universiti Deikin, Australia dari Yayasan Sime Darby, semalam.

Terkenal dengan gelaran ‘The Pocketrocketman’, Azizulhasni nyata mengambil iktibar dengan kekalahannya di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada bulan lepas.

Beliau terkandas di suku akhir untuk kedua-dua acara itu yang dimenangi pelumba Jepun, Kazunari Wanatabe (keirin) dan Zhang Miao (China) dalam acara pecut 200 meter.

Azizulhasni berkata, untuk berjaya beliau harus sentiasa berlatih dan fokus bagi terus mempamerkan peningkatan.

“Tiada jalan pintas untuk berjaya, saya perlu kaji setiap kelemahan dan cuba membaikinya,” katanya.

Mengenai biasiswa terbabit, Azizulhasni berkata, beliau bersyukur kerana pengorbanannya untuk menjulang nama negara dan pada masa sama menyambung pelajaran mendapat perhatian.

“Semoga biasiswa ini dapat memotivasikan lagi anak-anak muda lain untuk mencapai kecemerlangan di dalam pelajaran dan impian mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, biasiswa itu memberikan satu tanggungjawab yang berat kepada Azizulhasni.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...