Azizulhasni mahu buktikan
Oleh Syed Riduan Ahmad dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
'Kahwin tak jejas prestasi saya'
"MISI saya tetap memburu pingat emas Sukan Olimpik dan saya akan buktikan tanggapan prestasi atlit akan turun sebaik melangsungkan perkahwinan adalah salah," kata jaguh trek berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang.
Menurut Azizulhasni, kedua-dua itu tiada kaitannya tetapi bergantung kepada cara atlit terbabit merancang program latihannya.
Azizulhasni, 22, dan pasangannya, Athiah Ilyana Ahmad Samat, 24, selamat diijabkabulkan di kediaman pengantin perempuan di Ipoh, Perak, semalam, yang menyaksikan pingat emas Piala Dunia Klasik Beijing dijadikan antara barang hantaran oleh pelumba itu.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu memberi jaminan misinya di Sukan Olimpik London 2012 tidak akan terjejas malah menyatakan perkahwinan itu mencetus semangat lebih tinggi buatnya untuk mencapai sasaran berkenaan.
Kenyataan itu disokong Athiah yang sepanjang perkenalannya dengan Azizulhasni sejak 2007, tidak pernah melihat pelumba itu mencampuradukkan soal kerjaya dan perhubungan.
“Kami sebenarnya mempunyai matlamat sama dalam hal ini dan selama mengenali Azizul, dia begitu komited dengan keinginannya menjadi atlit trek terpantas di dunia,” kata Athiah yang masih menuntut di Universiti Melbourne.
Ketika ditanya mengenai perancangan bulan madu, Azizulhasni berkata, buat masa ini mereka masih belum membuat keputusan kerana sibuk melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Mac ini.
"Selepas ini saya akan kembali ke Melbourne dan meneruskan sesi latihan seperti biasa dan fokus untuk menghadapi kejohanan berkenaan.
"Kami akan berbulan madu selepas majlis resepsi kami yang akan diadakan pada Oktober selepas Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China," katanya.
No comments:
Post a Comment