Followers

Tuesday, February 9, 2010

Shabery yakin Azizulhasni kekalkan prestasi


KUALA LUMPUR - 'Orang dah kahwin biasanya bertambah kuat'.

Itu kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika diaju soalan mengenai kemampuan Azizulhasni Awang untuk mengekalkan prestasinya, setelah jaguh lumba basikal trek negara itu mendirikan rumahtangga, kelmarin.

"Saya percaya Azizulhasni akan bertambah kuat, kerana kini hidupnya lebih stabil dan dia mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai atlet harapan negara dan juga suami.

"Saya ucapkan tahniah serta mendoakan kebahagiaan Azizulhasni," katanya pada program Larian Gemilang Rakan Muda 2010 di Universiti Malaya, semalam. .

Azizulhasni selamatkan diijabkabulkan dengan gadis pilihannya, Athiah Ilyana Abd. Samat di Meru Heights, Ipoh kelmarin.

Shabery turut menyangkal dakwaan kononnya Azizulhasni tidak mampu mengulangi kejayaan, seperti mana yang dilakukan ketika zaman bujangnya.

"Saya tidak rasa Azizulhasni akan menjadi lemah, sebaliknya dia akan terus menjadi atlet yang baik dan cemerlang untuk negara.

"Malah, saya tidak melihat perkahwinan bakal menjejaskan kariernya.

''Contohi atlet luar negara, seperti Roger Federer dan beberapa atlet lain lagi, yang tidak menjadikan perkahwinan sebagai penghalang untuk menghasilkan lebih banyak kejayaan," ujarnya.

Majlis pernikahan Azizulhasni berlangsung sejurus dia memenangi pingat emas acara keirin Kejohanan Piala Dunia Klasik UCI di Beijing, minggu lalu.

The Pocketrocketman itu akan kembali menjalani latihan di Melbourne, Australia pada 7 Februari ini dan dia berjanji akan memberi fokus sepenuhnya terhadap Kejohanan Dunia, yang akan berlangsung di Copenhagenm Denmark, pada 24 hingga 28 Mac ini.

Dalam pada itu, Shabery turut memberitahu, kerajaan sedang berusaha untuk membuat bidaan menganjurkan Kongres Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) 2013.

"Kita harap dapat membida penganjuran IOC, memandangkan sudah lama kita tidak menganjurkan acara besar dalam arena sukan. Ini sekali gus mampu meningkatkan imej Malaysia di mata dunia.

"Setakat ini, kita telah melakukan persiapan yang terbaik memandangkan bidaan ini tidak membolehkan kita melakukan kempen.

''Kita yakin dengan apa yang kita telah ada di sini termasuklah kemudahan pusat konvensyen, tahap keselamatan serta layanan berkelas dunia," jelasnya.

Ditanya tentang peluang Malaysia untuk menganjurkan kongres itu, Shabery menganggap Malaysia merupakan antara calon yang terbaik

"Malaysia merupakan calon yang baik dan peluang kita mungkin 50-50 dan kita memerlukan sokongan lagi.

"Namun kita kena faham IOC berasal dari Eropah. Lebih 51 peratus keanggotaan datang dari Eropah, namun saya percaya bidaan ini tidak menyentuh soal sentimen, kulit, lokasi atau negara. Apa yang kita akan cuba adalah mendedahkan keupayaan Malaysia," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...